Ahlan wasahlan

Terima kasih kerana sudi ziarah ke blog saya.Semoga saya dapat berkongsi ilmu yang bermanfaat untuk semua.

Rabu, 27 Oktober 2010

RENUNGAN

Kisah Wanita Tudung Labuh
oleh محمد أمير الهادي عزمي pada pada 17hb Oktober 2010 pukul 9.49 ptg

Aku tidak mahu berbicara panjang tentang kewajipan menutup aurat. Apa yang ingin kukongsi di sini adalah tentang beberapa peristiwa dalam hidupku yang membuatkan aku berasa tudung labuh itu benar-benar istimewa. Allah banyak kali menyelamatkan dan memudahkan urusanku dengan asbab tudung labuh.



Dikejar Tebuan Tanah

Dalam satu program motivasi remaja, aku menyertainya sebagai salah seorang fasilitator. Antara aktiviti yang dilakukan ialah jungle trekking. Aku mengetuai barisan remaja puteri yang siap sedia memasuki hutan. Taklimat dan doa dimulakan. Menderap ke tengah belantara, tiba-tiba peserta puteri paling depan terlanggar sarang tebuan tanah. Tebuan tanah berterbangan garang. Sedia menyerang. Peserta itu menjerit kesakitan kerana disengat. Peserta di belakangnya turut menjerit ketakutan. Aku yang turut berada di barisan depan ketika itu melaungkan takbir. Lantas mengarahkan peserta yang lain berundur. Mereka bertempiaran lari.



Sementara aku tetap bertahan di situ. Kututup sebahagian wajahku dengan tudung labuhku. Tangan turut kusembunyikan di bawah tudung labuh. Kulindungi beberapa peserta yang terkepung dengan tudung labuhku agar tidak disengat lagi. Segera kubawa mereka berundur. Ajaibnya, seekor tebuan pun tidak berjaya menyengatku. Subhanallah! Maha Suci Engkau yang menyelamatkan aku dengan secebis kain buruk ini.



Terlindung daripada Mata Mat Rempit

Suatu hari, aku ingin pulang ke kampusku di UIA setelah bercuti pertengahan semester di kampung halaman. Seperti biasa, aku membeli tiket bas dan berusaha mencari bas yang mempunyai tempat duduk seorang. Request. Ini penting bagi mengelakkan aku terpaksa bermalam di dalam bas dengan bertemankan seorang lelaki asing di sebelah. Akhirnya kumembeli tiket dengan sebuah syarikat bas yang belum pernah kunaiki . Sebelum menaiki bas, aku berpesan kepada pemandu kedua agar menurunkan aku di Greenwood. Semua mata terlena melepaskan kelelahan hidup dengan mengembara ke alam mimpi yang seketika. Kedengaran sayup-sayup suara pemandu bas mengejutkan aku dari tidurku. Lantas aku terjaga separuh sedar. Ketika itu, aku duduk di kerusi seorang paling depan, tidak jauh dari pemandu.



Jam baru menunjukkan pukul 4.30 pagi. Badanku amat penat dan urat kepala terasa merenyuk. Aku bangkit dari kerusiku dalam keadaan mamai menuruni bas. Ketika berada di luar bas, aku masih sangat mengantuk. Terasa secepat kilat bas meninggalkanku. Ya Allah! Aku terkejut kerana hanya aku seorang yang menuruni bas. Lagipun, tempat bas itu memberhentikan aku bukannya tempat perhentian bas di Greenwood seperti kebiasaan. Aku langsung tidak mengenali tempat itu. Tiada peluang untukku bertanya atau membatalkan saja tempat perhentian itu. Nyata aku sudah terlewat. Asap bas pun sudah tidak kelihatan.



Aku berada di sebuah perhentian bas. Jalan raya di hadapannya lurus. Lengang. Sunyi. Kawasan sekitarnya adalah kawasan perumahan yang sedang bergelap. Jalur-jalur cahaya hanya sedikit. Kupandang ke belakang dan mendapati tidak jauh dari situ terdapat sebuah masjid. Namun, ia kelihatan gelap. Sunyi. Kelihatan seekor anjing berwarna hitam, besar dan garang sedang berlegar-legar di luar pagar masjid. Ya Allah, pada-Mu aku bertawakal. Aku segera menelefon kenalan rapatku, Puan Norliza Mohd Nordin untuk mengambilku. Pada masa yang sama, mataku melilau mencari kayu atau besi yang akan kugunakan sebagai senjata seandainya anjing itu mendekatiku.



Di mana? Tanya Puan Norliza. Susah-payah aku cuba menerangkan lokasi yang asing itu. Tambahan pula, aku tidak dapat melihat papan tanda yang menunjukkan nama masjid. Kehadiran anjing itu membuatkan aku tidak berani menghampiri masjid. Sukar Puan Norliza mentafsirkan lokasi aku berada. Tiba-tiba, sekumpulan samseng jalanan dengan pelbagai aksi motosikal yang berbahaya berhenti beramai-ramai di seberang jalan tempatku berada. Bagaikan ada mesyuarat penting di situ. Aku tiada tempat bersembunyi. Apa yang mampu kulakukan adalah tetap berdiri di tempatku dan membaca segala ayat al-Quran yang pernah kuhafal. Tawakalku memanjat langit dunia. Kebetulan, aku berjubah hitam dan bertudung labuh warna hitam. Aku menggunakan kesempatan itu untuk menyembunyikan diriku di balik warna malam. Cebisan kain turut kututup pada wajahku yang berkulit cerah.



Saat yang amat mendebarkan dalam hidupku, kelihatan anjing yang garang sedang berlari ke arahku. Kupujuk hati, anjing itu akan baik padaku kerana ia tidak menyalak. Samseng jalanan pula seakan sedang memandang-mandang ke arah lokasiku. Ketika itu, aku mengucapkan dua kalimah syahadah berkali-kali. Aku siapkan emosi untuk berjihad mempertahankan diri. Biar nyawa jadi taruhan, menyerah tidak sekali! Allah menjadi saksi. Aku bagaikan tidak percaya apabila melihat anjing itu sekadar melintasiku seolah-olah langsung tidak melihatku di balik kegelapan. Walau bagaimanapun, aku masih resah melihat samseng jalanan asyik memandang ke arahku. Aku bertambah risau membayangkan Puan Norliza mungkin tidak dapat mengagak lokasiku itu kerana dia asyik menelefonku. Tiba-tiba samseng jalanan itu beredar. Bunyi ekzos mengaum pergi, pelbagai aksi. Mereka seakan-akan memandang dengan pandangan yang kosong sahaja ke arahku sebentar tadi. Puan Norliza pula sampai, menambahkan syukurku. Hatiku yakin, Allah telah menyelamatkanku di balik tudung labuh berwarna gelap itu. Alhamdulillah!



Ya! Ya! Ya! Kudengari suara-suara hatimu yang sedang berbisik, Ramai saja yang bertudung labuh tapi tak baik. Tudung tak labuh pun masih tutup aurat. Dont judge people by its cover. Kuhormati semua kata-kata ini sepertimana kuhormati dirimu yang masih bertudung. Alhamdulillah. Aku cuma berkongsi secebis pengalaman dalam hidupku yang menyebabkan kurasakan tudung labuh terlalu istimewa. Buat adik-adik remaja yang pernah bertanya, akak harap adik menemui jawapannya.



Menyelamatkan Beg Tanganku daripada Ragut

Seorang temanku dari Brunei sudah beberapa hari tidak datang ke kelas sarjana. Aku risaukan keadaannya. Apabila dia datang kembali, aku segera bertanya. Dia menunjukkan pipinya yang calar sambil bercerita dengan juraian air mata. Dua orang pemuda yang menunggang laju meragut beg tangannya. Dia ikut terseret. Ketika itu pula dia sedang mengandung dua bulan. Hampir-hampir keguguran. Kedua-dua lututnya terluka. Pipi dan tangannya tercalar. Berdarah.



Aku sedih mendengar ceritanya. Dia memegang hujung tudungku sambil menyimpulkan, Jika akak pakai tudung labuh macam ni, tentu diorang tak nampak beg tangan akak. Kata-kata itu membuatkanku benar-benar berfikir jauh. Aku bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana tidak pernah menjadi mangsa ragut. Baru aku sedar, rupa-rupanya antara faktor yang menyelamatkanku adalah kerana beg tanganku sentiasa tersembunyi di bawah tudung labuh. Cuba anda bertanya kawan-kawan anda yang menggalas beg tangan di bawah tudung labuh, pernahkah mereka menjadi mangsa ragut?



Mendekatkan Jodoh dengan Lelaki Soleh

Aku hairan melihat beberapa orang temanku yang mulanya bertudung labuh tapi akhirnya menukar penampilan kerana takut tidak dipinang. Aku hormati penampilannya selagi masih menutup aurat namun jika itu alasannya, dia mungkin tersilap. Aku yang tetap bertudung labuh ini juga akhirnya yang agak cepat menerima pinangan. Suamiku mengakui antara faktor yang meyakinkannya pada agamaku saat memilih bunga untuk disunting adalah kerana nilai tudung labuhku. Wanita bertudung labuh lumrahnya hanya berani dirisik oleh lelaki yang mempunyai persiapan agama. Jika malas hidup beragama, mereka akan berfikir beribu kali untuk memiliki seorang suri yang bertudung labuh. Rasa tidak layak. Rasa perlu membaiki diri terlebih dahulu.



Pernah juga aku dan suami cuba memadankan beberapa orang temanku dengan lelaki-lelaki soleh yang kami kenali. Apabila biodata bertukar tangan, gadis bertudung labuh rupa-rupanya menjadi kriteria penting seorang lelaki soleh. Malang bagi temanku yang sebenarnya baik dan berbudi bahasa, namun kerana penampilannya itu melambatkan jodohnya. Benar, kita tidak boleh menilai seseorang hanya melihat luarannya. Namun, realitinya, kadang kala masa terlalu singkat dan peluang tidak ada untuk kita mengkaji dalaman seseorang sehingga terpaksa menilainya hanya melalui luarannya. Contoh realiti, jika kita ingin membeli nasi lemak di gerai. Kelihatan penjual di gerai yang pertama ialah seorang makcik bertudung labuh. Penjual di gerai kedua pula seorang wanita tidak bertudung dan rambutnya menggerbang lepas. Mana yang kita pilih? Kenapa cepat membuat pilihan sebelum mengkaji dalaman kedua-duanya dahulu? Apa nilaian kita ketika itu? Fikir-fikirkan.

Hormatilah Selagi Masih Menutup Aurat

Selasa, 26 Oktober 2010

Rencah Kehidupan

kau mencintaiku,
seperti bunga mencintai titah tuhannya,
tdk pernah lelah menebar mekar aroma bahagia,
tdk pernah lelah meneduh gelisah nyala.

kau mencintaiku,
seperti matahari mencintai titah tuhanya
tdk pernah lelah membahagi cerah cahaya,
tdk pernah lelah menghangatkan jiwa.

Kata-kata yang cukup mengusik kalbu.Beberapa waktu ini saya sedang menelusuri siri-siri kisah Ketika Cinta Bertasbih yang ditayangkan semasa bulan Ramadhan di Indonesia.Sambungan dari filem KCB 1 & 2.

Kehidupan brumahtangga ada pasang dan surutnya.Bagi saya perkara utama yang perlu dititik beratkan adalah kepercayaan antara suami isteri.Berperasangka boleh mengundang kegoyahan mahligai yang dibina.

Ujian dari al-khaliq kepada hambaNya pasti akan tiba pada bila-bila masa untuk menguji tahap keimanan kita.Bagaimana cara kita mengatasinya. Adakah dengan emosi atau dengan hati yang tenang dan akal yang waras.Setiap ujian yang diberi pasti adalah berdasarkan kemampuan diri kita.Allah tidak memberi jika kita tidak mampu untuk memikulnya.Setelah kita selesai menghadapi semua ujian-ujian yang diberi dengan baik di atas muka bumi ini pastilah Al-Jannah akan menjadi milik kita.Kunci utamanya ialah KESABARAN.

SABAR.Sebut memang mudah tetapi untuk merealisasikannya bukanlah semudah yang disebut.Tambahan lagi bila ujian datang bertimpa-timpa.Janganlah sekali-kali Allah kita persalahkan.Muhasabahlah diri dan buatlah perubahan demi perubahan yang lebih baik untuk kehidupan kita.

Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.Jangan kita ingat bila kita dapat suami @ isteri yang soleh maka segalanya akan selesai & hidup akan harmoni.Ingatlah suami @ isteri kita tetap manusia biasa.Imannya tetap juga ada naik dan turunnya.Terimalah seadanya dan berbincanglah dari hati ke hati bukan dengan penuh emosi.

Sejak kebelakangan ini isu perceraian semakin menebar luas.Seolah-olah umat Islam memandang remeh dengan hukum Allah S.W.T.Saya mohon dan merayu kepada semua pasangan-pasangan yang telah berkahwin bukalah Surah At-Talaq dan bacalah huraian tafsirnya.Di situ kita akan nampak bukan mudah untuk melafazkan cerai.Betapa cantiknya Islam dalam memelihara alam perkahwinan.Kepada isteri-isteri janganlah mudah meminta cerai.Haram bau syurga bagi seorang isteri yang meminta cerai dari suaminya.

Bersama-samalah kita menjaga institusi kekeluargaan kita.Semoga dengan kukuhnya institusi kekeluargaan maka zuriat-zuriat kita akan berkembang dengan positif dan akan memberi kehidupan yang baik untuk mereka.Rabbana Atina min azwajina wa zurriyyati min qurrati a'yun.

Selasa, 5 Oktober 2010

DI MANAKAH KITA?

Setelah sekian lama blog tidak di update.Akhirnya hari ini saya memainkan jua jari jemari ini untuk menaip secebis dua bingkisan.Sebelum terlewat saya mengucapkan eid mubarak kepada semua.Masa untuk berpuasa enam masih berbaki lagi 3 hari.

Setelah berlalunya medrasah Ramadhan adakah kita masih lagi sama dalam melakukan amal-amal ibadah kita seperti bulan Ramadhan yang lalu? Diharap amalan - amalan kita semakin mantap dan berterusan sehingga bertemu semula Ramadhan yang akan datang.Saya secara peribadi sangat merindui Ramadhan.Seronok melihat suasana manusia yang berebut - rebut membuat ibadah (pesta ibadah)terutama pada waktu solat tarawih.Kini keadaan itu menjadi sepi dek kerana Ramadhan telah pergi.

Teruskanlah pesta ibadah ini.Kalau bulan Ramadhan kita bersungguh-sungguh membaca Al-Quran kenapa tidak bulan - bulan yang lain?Kalau kita boleh konsisten membeli dan membaca surat khabar dari awal hingga akhir kenapa tidak begitu dengan Al-Quran? Al- Quran tidak perlu membelinya setiap hari.Tidak memerlukan kos untuk membacanya setiap hari.Kenapa kita tidak menggunakan kesempatan telah tersedia itu?Ayat-ayat Allah yang sangat indah malah menjadi penawar untuk kita.Hiasilah diri dengan Al-Quran, hiasilah mahligai kita yang indah itu dengan ayat-ayat suci Al-Quran.

Begitu juga dengan solat malam.Kalau sepanjang bulan Ramadhan kita boleh bangun melakukan solat malam kenapa tidak untuk bulan - bulan yang seterusnya? Untuk menjadi seorang mu'min yang kuat solat malamnya sentiasa dijaga.

Marilah sama-sama kita mempertingkatkan amalan kita supaya kelak di akhirat nanti memudahkan kita untuk mengecapi ni'mat syurga Allah.Ameen.........

Ahad, 15 Ogos 2010

Remaja n Ramadhan

Kelab Remaja ISMA Kepala Batas P.Pinang akan mengadakan progam RnR (Remaja n Ramadhan) bertempat di masjid perda P.Pinang.Program tersebut bertarikh 21 n 22 Ogos 2010 dengan yuran sebanyak RM10.Kepada semua remaja di sekitar P.Pinang anda semua dialu-alukan untuk menghadiri program ini kerana pelbagai program menarik telah disusun bagi memenuhi hari minggu anda.

Gunakanlah masa yang ada di bulan Ramadhan ini dengan sebijaknya.Kelebihan yang diberikan oleh Allah sangatlah besar ganjarannya.Janganlah kita mensia-siakannya kemungkinan Ramadhan akan datang kita tidak dapat berjumpa lagi.

Ayuh!! Semarakkan Ramadhan kita dengan amal ibadah yang sebaiknya.Kepada yang berminat bleh la menghubungi saya di sini 019 5629606.

Ahad, 18 Julai 2010

NASRULLAH

Kenapa Tak Rogol Saya?

Kisah benar ini berlaku di US.


...Ia tentang seorang wanita dari Malaysia yang bekerja di US. Dia memakai tudung dan memiliki akhlak yang
bagus.

Suatu malam perempuan ini dalam
perjalanan balik ke rumah dari tempat kerjanya. Kebetulan dia mengambil jalan singkat untuk pulang. Jalan
yang diambil pula agak tersorok dan
tidak banyak orang yang lalu lalang pada masa itu.

Disebabkan hari yang agak sudah lewat,
berjalan di jalan yang agak gelap sebegitu membuatkan dia agak gelisah dan rasa
takut. Lebih-lebih lagi dia berjalan
bersaorangan.

Tiba-tiba dia nampak ada seorang lelaki (kulit putih Amerika) bersandar di dinding di tepi lorong
itu. Dia sudah mula rasa takut dan tak
sedap hati. Apa yang dia boleh buat waktu tu adalah berdoa ke hadrat Allah memohon keselamatan atas dirinya. Dia baca
ayat Kursi dengan penuh pengharapan agar
Allah membantu dia disaat itu.

Masa dia melepasi tempat lelaki itu
bersandar, dia sempat menoleh dan dapat mengecam muka lelaki itu. Nasib
baik lelaki itu buat tidak endah dan
perempuan ini selamat sampai ke
rumahnya.

Keesokkan paginya, wanita ini terbaca dalam akhbar yang seorang perempuan telah dirogol oleh seorang lelaki
yang tidak dikenali dekat lorong yang
dia jalan semalam hanya 10 minit selepas dia melintasi lorong tersebut. Muslimah ini yakin benar lelaki kulit putih
yang dia lihat semalam adalah perogol
itu.

Atas rasa tanggungjawab dia terus ke balai polis dan buat aduan. Wanita ni dapat mengenalpasti suspek
melalui kawad cam dan selepas siasatan
dilakukan, polis dapat bukti bahawa lelaki tersebut adalah perogol yang dicari.

Tapi perempuan ini hairan juga kenapa lelaki tadi tak jadikan dia mangsa ketika dia melalui lorong tersebut
walhal dia keseorangan di masa tu,
tetapi lelaki tadi rogol perempuan yang lalu selepas dia. Wanita ini nak
tahu sangat sebabnya. Jadi dia minta
kebenaran polis untuk bercakap dengan perogol
tadi sebelum hukuman dijatuhkan (sebelum lelaki tadi di bawa ke
tempat lain).

Dia pun tanya perogol itu..

“Why don’t you do anything to me on that
night even though you know that I’m alone?”
(Kenapa awak tak buat apa-apa kat saya
malam tu walaupun awak tau saya seorang je masa
tu?)

Perogol tu jawab:

“No, you are not alone. That night I saw
two young man walking with you. One on your right side and the other one
was by your left side. If you were alone
of course you will be my victim.”
(Tak, awak bukan berseorangan. Malam tu
saya nampak ada 2 orang lelaki berjalan dengan
awak. Seorang sebelah kanan awak dan sorang lagi sebelah kiri awak.
Kalaulah awak sorang2 malam tu, sudah
pasti awak jadi mangsa saya..)

Wanita ni rasa amat terkejut bila dengar
penjelasan perogol tu. Dia bersyukur ke hadrat
Allah kerana memelihara dia malam itu, mungkin juga berkat ayat Kursi
yang dia baca malam itu.

p/s : MORAL CERITA INI???

Jika kita sebagai hambaNya menurut
segala perintah dan meninggalkan segala laranganNya, Dia pastinya akan sentiasa dekat dengan kita dan
memelihara kita. Wanita tadi
pertama-tamanya menutup aurat di US dan memang seorang yang menjaga
batas-batas yang ditetapkan Islam.
Mungkin dua orang lelaki yang menemani wanita itu adalah malaikat yang diutuskan Allah untuk menjaga
hambaNya yang sentiasa ingat akan
diriNya.

"...Barang siapa membaca ayat Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya,Allah mewakilkan 2 orang Malaikat
memeliharanya hingga subuh. Barang siapa
yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya ..."
[Dari Abdullah bin ‘Amr r.a.]

Sebuah kisah benar yang sangat sangat menarik pada pandangan ku...
semoga kite semua mendapat pengajaran dan ilmu yang bermanfat...
sebagai hamba kita seharusnya percaya dengan kemampuan senjata orang mukmin iaitu DOA….

semoga kita sentiasa dipeliara Allah dari
kejahatan syaitan yang di rejam…….
Oleh:Md Redzuan
Lihat seterusnya..

Khamis, 15 Julai 2010

pengalaman baru.........

7 Julai 2010 adalah tarikh rasmi saya menjawat jawatan suri rumahtangga.Kembali seperti wanita lain mendidik anak-anak dan menjaga suami tercinta.Ada kebaikan dan keburukannya bagi sesetengah wanita.Tapi bagi saya tiada langsung keburukan menjadi suri rumahtangga.

Ada wanita mengatakan pemikiran suri rumah akan menjadi semakin sempit kalau tidak bekerja dek kerana kurangnya pergaulan dengan orang luar.Bagi saya kenyataan itu bergantung kepada individu itu sendiri.Suri rumah perlu menjadi suri rumah yang proaktif.Banyak libatkan diri dengan NGO2 luar.Insyaaallah minda kita tidak akan menjadi sempit seperti yang kita fikirkan.

Sekarang terjawablah persoalan saya mengapa Rabiah Al-Adawiyah merasa terganggu apabila tinggal bersama masyarakat luar.kalau dulu saya bekerja, amalan fardi saya dibuat dalam keadaan terburu-buru gara - gara kerana mahu mengejar masa.Sibuk dengan urusan pekerjaan yang dibayar oleh majikan.Tetapi sekarang saya lebih selesa dan lebih tenang dalam melakukan segala amalan fardi saya.Tidak perlu terburu - buru dan lebih konsisten.

Hati ini berasa amat puas apabila melihat rumah dalam keadaan kemas dan selesa.Segala-galanya dapat dibereskan dengan sempurna.Kalau dulu sebelum ini segala-galanya tidak sempat.Terpaksa menahan mata melihat rumah yang tidak kemas dan tidak selesa.Anak - anak terpaksa diserahkan kepada pihak jagaan hampir 80% masa setiap hari.Sampai kadangkala timbul rasa bersalah terhadap anak - anak berkaitan dengan kualiti masa bersama mereka.Semoga Allah menerima amalan saya sebelum ini.

Ini hanya secebis pengalaman saya semasa bekerja dan sekarang.Bagi saya setiap wanita perlu ada dalam minda masing-masing bekerja hanyalah untuk membantu suami.Jika suami sudah berkamampuan terpulanglah samada untuk bekerja atau tidak.Fikirlah yang terbaik untuk keluarga masing-masing.Apa yang penting wanita adalah sayap kiri kepada lelaki.Begitu juga isteri, peranan isteri dalam rumahtangga amat penting bagi menaikkan taraf kualiti keluarga tersebut.

Rabu, 7 Julai 2010

RASULULLAH, AKU MERINDUIMU.........

Hati ini terusik apabila membacakan kisah Rabiah Al-Adwiyah.Semasa Rabiah masih kecil ayahandanya telah bermimpi berjumpa dengan Rasulullah. Rasulullah menceritakan tentang Rabiah.Rabiah bukanlah orang sebarangan di sisi Allah S.W.T.Satu perkara lagi Rasulullah berpesan kepada ayahandanya agar berjumpa dengan Sultan yang memerintah pada waktu tersebut melalui sepucuk surat.

Lalu ayahandanya menulis surat dan pergi ke istana bagi melaksanakan hajat Rasulullah.Gementar di hatinya siapa yang tahu.Terasa diri terlalu kerdil untuk bejumpa dengan sultan tersebut.Pengawal istana tidak mahu membantunya bagi menyerahkan surat tersebut.Tetapi selepas pujukan demi pujukan dari ayahanda Rabiah pengawal tersebut cuba membantunya.Akhirnya pengawal itu menyerahkan surat tersebut kepada Sultan lalu Sultan tersebut terus memberhentikan persidangannya dengan menteri - menteri.

Pada mulanya Sultan menyuruh pengawal tersebut memanggil ayahanda Rabiah tetapi beliau menukar fikiran.Pada fikirannya ayanhanda Rabiah bukan orang sebarangan lalu beliau yang perlu berjumpa dengan Ismail Al-Adawiy."Bagaimanakah kamu tahu saya meninggalkan solat sunat 400 rakaat pada malam Jumaat yang lepas?"tanya Sultan tersebut.Sultan ini tidak pernah meninggalkan solat sunat pada waktu malam.Setiap hari 100 rakaat dan setiap malam Jumaat 400 rakaat.Beliau pelik bagaimana Ismail Al-Adawiy mengetahui beliau ada meninggalkan sehari solat malamnya.

Ismail pun menceritakan mimpinya kepada Sultan tersebut.Menangislah Sultan tersebut apabila mendengar cerita dari Ismail.Memang benar tekaannya.Ismail bukan sebarangan orang.Sedangkan dia sentisa solat malam beratus rakaat tidak dapat bermimpi bertemu Rasulullah.

Apabila membaca kisah ini,terasa diri ini masih jauh untuk bertemu dengan Rasulullah.Hati ini terlalu kepingin untuk bertemu dengan Rasulullah walau dalam mimpi.Apabila membaca kisah di atas terasa siapalah aku untuk berjumpa dengan Rasulullah.Terasa diri masih belum layak untuk bertemu dengan Baginda.

Walau bagaimanapun perlu ada kesungguhan di dalam diri untuk melakukan amal seikhlas yang mugkin supaya mendapat tempat yang baik di sisi Allah.Semoga segala amalan selama ini diterima Allah.Amin.