Ahlan wasahlan

Terima kasih kerana sudi ziarah ke blog saya.Semoga saya dapat berkongsi ilmu yang bermanfaat untuk semua.

Isnin, 1 Ogos 2011

RAMADHAN DATANG LAGI.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Ramadhan Kareem kepada semua pengunjung blog saya ini. Bulan seribu rahmat yang mana pintu syurga dibuka seluasnya manakala pintu neraka akan ditutup serapat-rapatnya. Doa juga akan dimustajabkan doa pada bulan ini maka marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah S.W.T. Janganlah lepaskan peluang ini.

Bulan ini juga mempunyai satu malam yang amat istimewa Allah sediakan kepada kita ummat Islam seluruh pelusuk dunia iaitu malam Lailatul Qadar. Saya ingin lontarkan di sini apakah yang akan lakukan apabila kita berada di malam Lailatul Qadar? Sebelum itu, apakah persediaan kita untuk menghadapinya? Adakah kita layak untuk bertemu dengannya? Jawapannya adalah beramal dan berdoalah kepada Allah. Semoga kita dipertemukan oleh Allah dengan malam seribu rahmat ini.

Kembali dengan pertanyaan saya tadi, apakah yang kita akan lakukan apabila kita bertemu dengan malam seribu rahmat ini. Ada yang berkata saya akan minta doa saya dimakbulkan, dan ada yang mengatakan saya akan minta kebahagiaan dalam hidup saya. Jawapan yang sebenarnya adalah bergantung kepada diri kita sendiri, sejauh mana kita mempersiapkan diri kita untuk menghadapi malam seribu rahmat ini.

Wahai saudaraku kurangkanlah perkara-perkara yang dapat melalaikan diri kita. Gunakanlah masa sebaik mungkin untuk kita manfaatkan bulan ini kerana kita tidak akan pasti adakah tahun hadapan kita akan bertemunya lagi. Amat rugilah bagi orang-orang yang tidak manfaatkanya sebaik mungkin.

Antara impian saya dalam bulan ini ialah saya akan cuba sedaya upaya tanpa jemu untuk memberi semangat kepada anakanda tecinta yang berumur 6 tahun untuk terus melatih diri untuk berpuasa semoga Allah memberi kekuatan kepadanya. Semoga semangatnya untuk terus berpuasa tidak pernah luntur. Saya berharap dengan latihan ini dapat menjadikan anakanda Ulwan menjadi mujahid sejati yang sentiasa membela agama Allah. Amin.

Justeru ayuhlah wahai saudaraku untuk terus merebut peluang yang ada ini untuk beramal dan meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah. Semoga dengan keluarnya kita dari madrasah Ramadhan ini kita akan tergolong di dalam golongan orang yang beraqwa. Amin.