Ahlan wasahlan

Terima kasih kerana sudi ziarah ke blog saya.Semoga saya dapat berkongsi ilmu yang bermanfaat untuk semua.

Rabu, 27 Oktober 2010

RENUNGAN

Kisah Wanita Tudung Labuh
oleh محمد أمير الهادي عزمي pada pada 17hb Oktober 2010 pukul 9.49 ptg

Aku tidak mahu berbicara panjang tentang kewajipan menutup aurat. Apa yang ingin kukongsi di sini adalah tentang beberapa peristiwa dalam hidupku yang membuatkan aku berasa tudung labuh itu benar-benar istimewa. Allah banyak kali menyelamatkan dan memudahkan urusanku dengan asbab tudung labuh.



Dikejar Tebuan Tanah

Dalam satu program motivasi remaja, aku menyertainya sebagai salah seorang fasilitator. Antara aktiviti yang dilakukan ialah jungle trekking. Aku mengetuai barisan remaja puteri yang siap sedia memasuki hutan. Taklimat dan doa dimulakan. Menderap ke tengah belantara, tiba-tiba peserta puteri paling depan terlanggar sarang tebuan tanah. Tebuan tanah berterbangan garang. Sedia menyerang. Peserta itu menjerit kesakitan kerana disengat. Peserta di belakangnya turut menjerit ketakutan. Aku yang turut berada di barisan depan ketika itu melaungkan takbir. Lantas mengarahkan peserta yang lain berundur. Mereka bertempiaran lari.



Sementara aku tetap bertahan di situ. Kututup sebahagian wajahku dengan tudung labuhku. Tangan turut kusembunyikan di bawah tudung labuh. Kulindungi beberapa peserta yang terkepung dengan tudung labuhku agar tidak disengat lagi. Segera kubawa mereka berundur. Ajaibnya, seekor tebuan pun tidak berjaya menyengatku. Subhanallah! Maha Suci Engkau yang menyelamatkan aku dengan secebis kain buruk ini.



Terlindung daripada Mata Mat Rempit

Suatu hari, aku ingin pulang ke kampusku di UIA setelah bercuti pertengahan semester di kampung halaman. Seperti biasa, aku membeli tiket bas dan berusaha mencari bas yang mempunyai tempat duduk seorang. Request. Ini penting bagi mengelakkan aku terpaksa bermalam di dalam bas dengan bertemankan seorang lelaki asing di sebelah. Akhirnya kumembeli tiket dengan sebuah syarikat bas yang belum pernah kunaiki . Sebelum menaiki bas, aku berpesan kepada pemandu kedua agar menurunkan aku di Greenwood. Semua mata terlena melepaskan kelelahan hidup dengan mengembara ke alam mimpi yang seketika. Kedengaran sayup-sayup suara pemandu bas mengejutkan aku dari tidurku. Lantas aku terjaga separuh sedar. Ketika itu, aku duduk di kerusi seorang paling depan, tidak jauh dari pemandu.



Jam baru menunjukkan pukul 4.30 pagi. Badanku amat penat dan urat kepala terasa merenyuk. Aku bangkit dari kerusiku dalam keadaan mamai menuruni bas. Ketika berada di luar bas, aku masih sangat mengantuk. Terasa secepat kilat bas meninggalkanku. Ya Allah! Aku terkejut kerana hanya aku seorang yang menuruni bas. Lagipun, tempat bas itu memberhentikan aku bukannya tempat perhentian bas di Greenwood seperti kebiasaan. Aku langsung tidak mengenali tempat itu. Tiada peluang untukku bertanya atau membatalkan saja tempat perhentian itu. Nyata aku sudah terlewat. Asap bas pun sudah tidak kelihatan.



Aku berada di sebuah perhentian bas. Jalan raya di hadapannya lurus. Lengang. Sunyi. Kawasan sekitarnya adalah kawasan perumahan yang sedang bergelap. Jalur-jalur cahaya hanya sedikit. Kupandang ke belakang dan mendapati tidak jauh dari situ terdapat sebuah masjid. Namun, ia kelihatan gelap. Sunyi. Kelihatan seekor anjing berwarna hitam, besar dan garang sedang berlegar-legar di luar pagar masjid. Ya Allah, pada-Mu aku bertawakal. Aku segera menelefon kenalan rapatku, Puan Norliza Mohd Nordin untuk mengambilku. Pada masa yang sama, mataku melilau mencari kayu atau besi yang akan kugunakan sebagai senjata seandainya anjing itu mendekatiku.



Di mana? Tanya Puan Norliza. Susah-payah aku cuba menerangkan lokasi yang asing itu. Tambahan pula, aku tidak dapat melihat papan tanda yang menunjukkan nama masjid. Kehadiran anjing itu membuatkan aku tidak berani menghampiri masjid. Sukar Puan Norliza mentafsirkan lokasi aku berada. Tiba-tiba, sekumpulan samseng jalanan dengan pelbagai aksi motosikal yang berbahaya berhenti beramai-ramai di seberang jalan tempatku berada. Bagaikan ada mesyuarat penting di situ. Aku tiada tempat bersembunyi. Apa yang mampu kulakukan adalah tetap berdiri di tempatku dan membaca segala ayat al-Quran yang pernah kuhafal. Tawakalku memanjat langit dunia. Kebetulan, aku berjubah hitam dan bertudung labuh warna hitam. Aku menggunakan kesempatan itu untuk menyembunyikan diriku di balik warna malam. Cebisan kain turut kututup pada wajahku yang berkulit cerah.



Saat yang amat mendebarkan dalam hidupku, kelihatan anjing yang garang sedang berlari ke arahku. Kupujuk hati, anjing itu akan baik padaku kerana ia tidak menyalak. Samseng jalanan pula seakan sedang memandang-mandang ke arah lokasiku. Ketika itu, aku mengucapkan dua kalimah syahadah berkali-kali. Aku siapkan emosi untuk berjihad mempertahankan diri. Biar nyawa jadi taruhan, menyerah tidak sekali! Allah menjadi saksi. Aku bagaikan tidak percaya apabila melihat anjing itu sekadar melintasiku seolah-olah langsung tidak melihatku di balik kegelapan. Walau bagaimanapun, aku masih resah melihat samseng jalanan asyik memandang ke arahku. Aku bertambah risau membayangkan Puan Norliza mungkin tidak dapat mengagak lokasiku itu kerana dia asyik menelefonku. Tiba-tiba samseng jalanan itu beredar. Bunyi ekzos mengaum pergi, pelbagai aksi. Mereka seakan-akan memandang dengan pandangan yang kosong sahaja ke arahku sebentar tadi. Puan Norliza pula sampai, menambahkan syukurku. Hatiku yakin, Allah telah menyelamatkanku di balik tudung labuh berwarna gelap itu. Alhamdulillah!



Ya! Ya! Ya! Kudengari suara-suara hatimu yang sedang berbisik, Ramai saja yang bertudung labuh tapi tak baik. Tudung tak labuh pun masih tutup aurat. Dont judge people by its cover. Kuhormati semua kata-kata ini sepertimana kuhormati dirimu yang masih bertudung. Alhamdulillah. Aku cuma berkongsi secebis pengalaman dalam hidupku yang menyebabkan kurasakan tudung labuh terlalu istimewa. Buat adik-adik remaja yang pernah bertanya, akak harap adik menemui jawapannya.



Menyelamatkan Beg Tanganku daripada Ragut

Seorang temanku dari Brunei sudah beberapa hari tidak datang ke kelas sarjana. Aku risaukan keadaannya. Apabila dia datang kembali, aku segera bertanya. Dia menunjukkan pipinya yang calar sambil bercerita dengan juraian air mata. Dua orang pemuda yang menunggang laju meragut beg tangannya. Dia ikut terseret. Ketika itu pula dia sedang mengandung dua bulan. Hampir-hampir keguguran. Kedua-dua lututnya terluka. Pipi dan tangannya tercalar. Berdarah.



Aku sedih mendengar ceritanya. Dia memegang hujung tudungku sambil menyimpulkan, Jika akak pakai tudung labuh macam ni, tentu diorang tak nampak beg tangan akak. Kata-kata itu membuatkanku benar-benar berfikir jauh. Aku bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana tidak pernah menjadi mangsa ragut. Baru aku sedar, rupa-rupanya antara faktor yang menyelamatkanku adalah kerana beg tanganku sentiasa tersembunyi di bawah tudung labuh. Cuba anda bertanya kawan-kawan anda yang menggalas beg tangan di bawah tudung labuh, pernahkah mereka menjadi mangsa ragut?



Mendekatkan Jodoh dengan Lelaki Soleh

Aku hairan melihat beberapa orang temanku yang mulanya bertudung labuh tapi akhirnya menukar penampilan kerana takut tidak dipinang. Aku hormati penampilannya selagi masih menutup aurat namun jika itu alasannya, dia mungkin tersilap. Aku yang tetap bertudung labuh ini juga akhirnya yang agak cepat menerima pinangan. Suamiku mengakui antara faktor yang meyakinkannya pada agamaku saat memilih bunga untuk disunting adalah kerana nilai tudung labuhku. Wanita bertudung labuh lumrahnya hanya berani dirisik oleh lelaki yang mempunyai persiapan agama. Jika malas hidup beragama, mereka akan berfikir beribu kali untuk memiliki seorang suri yang bertudung labuh. Rasa tidak layak. Rasa perlu membaiki diri terlebih dahulu.



Pernah juga aku dan suami cuba memadankan beberapa orang temanku dengan lelaki-lelaki soleh yang kami kenali. Apabila biodata bertukar tangan, gadis bertudung labuh rupa-rupanya menjadi kriteria penting seorang lelaki soleh. Malang bagi temanku yang sebenarnya baik dan berbudi bahasa, namun kerana penampilannya itu melambatkan jodohnya. Benar, kita tidak boleh menilai seseorang hanya melihat luarannya. Namun, realitinya, kadang kala masa terlalu singkat dan peluang tidak ada untuk kita mengkaji dalaman seseorang sehingga terpaksa menilainya hanya melalui luarannya. Contoh realiti, jika kita ingin membeli nasi lemak di gerai. Kelihatan penjual di gerai yang pertama ialah seorang makcik bertudung labuh. Penjual di gerai kedua pula seorang wanita tidak bertudung dan rambutnya menggerbang lepas. Mana yang kita pilih? Kenapa cepat membuat pilihan sebelum mengkaji dalaman kedua-duanya dahulu? Apa nilaian kita ketika itu? Fikir-fikirkan.

Hormatilah Selagi Masih Menutup Aurat

Selasa, 26 Oktober 2010

Rencah Kehidupan

kau mencintaiku,
seperti bunga mencintai titah tuhannya,
tdk pernah lelah menebar mekar aroma bahagia,
tdk pernah lelah meneduh gelisah nyala.

kau mencintaiku,
seperti matahari mencintai titah tuhanya
tdk pernah lelah membahagi cerah cahaya,
tdk pernah lelah menghangatkan jiwa.

Kata-kata yang cukup mengusik kalbu.Beberapa waktu ini saya sedang menelusuri siri-siri kisah Ketika Cinta Bertasbih yang ditayangkan semasa bulan Ramadhan di Indonesia.Sambungan dari filem KCB 1 & 2.

Kehidupan brumahtangga ada pasang dan surutnya.Bagi saya perkara utama yang perlu dititik beratkan adalah kepercayaan antara suami isteri.Berperasangka boleh mengundang kegoyahan mahligai yang dibina.

Ujian dari al-khaliq kepada hambaNya pasti akan tiba pada bila-bila masa untuk menguji tahap keimanan kita.Bagaimana cara kita mengatasinya. Adakah dengan emosi atau dengan hati yang tenang dan akal yang waras.Setiap ujian yang diberi pasti adalah berdasarkan kemampuan diri kita.Allah tidak memberi jika kita tidak mampu untuk memikulnya.Setelah kita selesai menghadapi semua ujian-ujian yang diberi dengan baik di atas muka bumi ini pastilah Al-Jannah akan menjadi milik kita.Kunci utamanya ialah KESABARAN.

SABAR.Sebut memang mudah tetapi untuk merealisasikannya bukanlah semudah yang disebut.Tambahan lagi bila ujian datang bertimpa-timpa.Janganlah sekali-kali Allah kita persalahkan.Muhasabahlah diri dan buatlah perubahan demi perubahan yang lebih baik untuk kehidupan kita.

Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.Jangan kita ingat bila kita dapat suami @ isteri yang soleh maka segalanya akan selesai & hidup akan harmoni.Ingatlah suami @ isteri kita tetap manusia biasa.Imannya tetap juga ada naik dan turunnya.Terimalah seadanya dan berbincanglah dari hati ke hati bukan dengan penuh emosi.

Sejak kebelakangan ini isu perceraian semakin menebar luas.Seolah-olah umat Islam memandang remeh dengan hukum Allah S.W.T.Saya mohon dan merayu kepada semua pasangan-pasangan yang telah berkahwin bukalah Surah At-Talaq dan bacalah huraian tafsirnya.Di situ kita akan nampak bukan mudah untuk melafazkan cerai.Betapa cantiknya Islam dalam memelihara alam perkahwinan.Kepada isteri-isteri janganlah mudah meminta cerai.Haram bau syurga bagi seorang isteri yang meminta cerai dari suaminya.

Bersama-samalah kita menjaga institusi kekeluargaan kita.Semoga dengan kukuhnya institusi kekeluargaan maka zuriat-zuriat kita akan berkembang dengan positif dan akan memberi kehidupan yang baik untuk mereka.Rabbana Atina min azwajina wa zurriyyati min qurrati a'yun.

Selasa, 5 Oktober 2010

DI MANAKAH KITA?

Setelah sekian lama blog tidak di update.Akhirnya hari ini saya memainkan jua jari jemari ini untuk menaip secebis dua bingkisan.Sebelum terlewat saya mengucapkan eid mubarak kepada semua.Masa untuk berpuasa enam masih berbaki lagi 3 hari.

Setelah berlalunya medrasah Ramadhan adakah kita masih lagi sama dalam melakukan amal-amal ibadah kita seperti bulan Ramadhan yang lalu? Diharap amalan - amalan kita semakin mantap dan berterusan sehingga bertemu semula Ramadhan yang akan datang.Saya secara peribadi sangat merindui Ramadhan.Seronok melihat suasana manusia yang berebut - rebut membuat ibadah (pesta ibadah)terutama pada waktu solat tarawih.Kini keadaan itu menjadi sepi dek kerana Ramadhan telah pergi.

Teruskanlah pesta ibadah ini.Kalau bulan Ramadhan kita bersungguh-sungguh membaca Al-Quran kenapa tidak bulan - bulan yang lain?Kalau kita boleh konsisten membeli dan membaca surat khabar dari awal hingga akhir kenapa tidak begitu dengan Al-Quran? Al- Quran tidak perlu membelinya setiap hari.Tidak memerlukan kos untuk membacanya setiap hari.Kenapa kita tidak menggunakan kesempatan telah tersedia itu?Ayat-ayat Allah yang sangat indah malah menjadi penawar untuk kita.Hiasilah diri dengan Al-Quran, hiasilah mahligai kita yang indah itu dengan ayat-ayat suci Al-Quran.

Begitu juga dengan solat malam.Kalau sepanjang bulan Ramadhan kita boleh bangun melakukan solat malam kenapa tidak untuk bulan - bulan yang seterusnya? Untuk menjadi seorang mu'min yang kuat solat malamnya sentiasa dijaga.

Marilah sama-sama kita mempertingkatkan amalan kita supaya kelak di akhirat nanti memudahkan kita untuk mengecapi ni'mat syurga Allah.Ameen.........