Ahlan wasahlan

Terima kasih kerana sudi ziarah ke blog saya.Semoga saya dapat berkongsi ilmu yang bermanfaat untuk semua.

Khamis, 15 Disember 2011

Kekuatan iman

Alhamdulillah, malam ini dapat jua saya menulis secebis kata-kata untuk kita berkongsi bersama. Sejak beberapa bulan ini mata pun dah berpinau-pinau asyik mengadap tempahan coklat dan apam yang banyak. Alhamdulillah rezeki dari Allah. Suatu ketika dahulu tidak pernah terlintas di dalam hati untuk menjadi ushanita seperti sekarang. Semuanya adalah perancangan Allah. Dia mengetahui setiap lintasan dan masa depan kita semua. Alhamdulillah wa syukurillah yang tidak terhingga saya panjatkan kepada Yang Maha Mencipta.

Alhamdulillah baru-baru ini saya dan team saya (Kelab Remaja ISMA Kepala Batas) telah dapat menyelesaikan satu lagi tanggungjwab kami untuk berdakwah dan membawa remaja-remaja sekitar Pulau Pinang dapat beramal dengan ajaran Islam yang sebenar-benarnya. Kem Eksplorasi Remaja Islam (KERIS) salah satu dari produk KRIM.

Apa yang saya nak kongsikan di sini, walaupun saya hadir sebagai urusetia yang banyaknya di dapur bersama kuali dan periuk, namun saya sempat juga berlari sekejap-sekejap ke dewan utama untuk melihat perjalanan program. Perkara utama yang mencuit hati saya dalam program ini adalah semangat adik-adik ini untuk mencari Islam dan belajar berdakwah kepada orang lain. Teringat masa saya mula-mula kenal dengan dakwah dan tarbiyah di kolej dulu. Semangatnya sentiasa naik untuk mendidik adik2 junior. Rumah sewa saya dan kawan-kawan seringkali menjadi tempat mesyuarat dan makan-makan. Maklumlah penghuni-penghuni rumahnya suka memasak hehe. Setiap hari adalah pengalaman dan kenangan. Andainya boleh diputar semula masa itu........... yang pastinya ia tidak akan dapat diputar sampai bila2. Hanya memori dan gambar-gambar menjadi teman untuk saya tersenyum seorang diri mengingati masa lalu yang penuh kenangan :)

Namun kini ianya telah berlalu 11 tahun dulu. Saya juga sudah bergelar seorang isteri dan ibu. Apakah semangat itu masih segar dalam setiap urat nadi ini. Tidak saya nafikan apabila sudah berumahtangga banyak perkara yang perlu dititik beratkan. Apabila dinilai seolah-olah sama sahaja kepentingannya. Saya hanya manusia biasa. Kadang-kadang tercicir jua salah satu perkara tersebut. Bukan senang untuk kita seimbangkan jawatan2 kita seperti ibu, isteri, dakwah. Saya bagi contoh mudah. Bila anak sakit jadi dua tanggungjwab tadi akan menjadi no 2. Namun yang sebenar-benarnya adalah tidak kira apa pun situasi kita dakwah adalah no 1. Jika kita jaga agama Allah maka Allah akan jaga kita.

Inilah konsep tawakkal yang saya cuba terapkan dalam hidup saya. Semoga Allah memberi kekuatan kepada diri saya untuk menguruskan tanggungjawab2 saya ini. Semoga kita semua dalam rahmat Allah.

Didedikasi lagu ini khas untuk da'ie ilallah

http://www.youtube.com/watch?v=w2I1leq039A

Isnin, 1 Ogos 2011

RAMADHAN DATANG LAGI.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Ramadhan Kareem kepada semua pengunjung blog saya ini. Bulan seribu rahmat yang mana pintu syurga dibuka seluasnya manakala pintu neraka akan ditutup serapat-rapatnya. Doa juga akan dimustajabkan doa pada bulan ini maka marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah S.W.T. Janganlah lepaskan peluang ini.

Bulan ini juga mempunyai satu malam yang amat istimewa Allah sediakan kepada kita ummat Islam seluruh pelusuk dunia iaitu malam Lailatul Qadar. Saya ingin lontarkan di sini apakah yang akan lakukan apabila kita berada di malam Lailatul Qadar? Sebelum itu, apakah persediaan kita untuk menghadapinya? Adakah kita layak untuk bertemu dengannya? Jawapannya adalah beramal dan berdoalah kepada Allah. Semoga kita dipertemukan oleh Allah dengan malam seribu rahmat ini.

Kembali dengan pertanyaan saya tadi, apakah yang kita akan lakukan apabila kita bertemu dengan malam seribu rahmat ini. Ada yang berkata saya akan minta doa saya dimakbulkan, dan ada yang mengatakan saya akan minta kebahagiaan dalam hidup saya. Jawapan yang sebenarnya adalah bergantung kepada diri kita sendiri, sejauh mana kita mempersiapkan diri kita untuk menghadapi malam seribu rahmat ini.

Wahai saudaraku kurangkanlah perkara-perkara yang dapat melalaikan diri kita. Gunakanlah masa sebaik mungkin untuk kita manfaatkan bulan ini kerana kita tidak akan pasti adakah tahun hadapan kita akan bertemunya lagi. Amat rugilah bagi orang-orang yang tidak manfaatkanya sebaik mungkin.

Antara impian saya dalam bulan ini ialah saya akan cuba sedaya upaya tanpa jemu untuk memberi semangat kepada anakanda tecinta yang berumur 6 tahun untuk terus melatih diri untuk berpuasa semoga Allah memberi kekuatan kepadanya. Semoga semangatnya untuk terus berpuasa tidak pernah luntur. Saya berharap dengan latihan ini dapat menjadikan anakanda Ulwan menjadi mujahid sejati yang sentiasa membela agama Allah. Amin.

Justeru ayuhlah wahai saudaraku untuk terus merebut peluang yang ada ini untuk beramal dan meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah. Semoga dengan keluarnya kita dari madrasah Ramadhan ini kita akan tergolong di dalam golongan orang yang beraqwa. Amin.

Rabu, 29 Jun 2011

israk mi'raj

Setiap kali menjelang hari-hari penting dalam Islam semua umat Islam akan didedahkan dengan kisah-kisah yang berkaitan hari-hari tersebut. Termasuklah hari Isra' dan Mi'raj. Banyak ibrah yang dapat kita ambil dari hari-hari kebesaran tersebut. Tetapi persoalannya di sini sejauh mana kita mengaplikasikan dalam kehidupan kita? Jika kita tanya murid sekolah rendah sekarang ini mereka pun tahu apa itu israk dan mi'raj.

Saya ingin menyentuh satu perkara yang paling utama dalam kisah ini adalah mengenai solat. Asalnya kita ummat Muhammad di fardhukan sebanyak 50 waktu solat. Sehinggalah Nabi Muhammad disuruh untuk berjumpa dengan Allah untuk mengurangkan lagi jumlah waktu solat walaupun Nabi berasa amat malu di hadapan Allah kerana terlalu banyak meminta. Dan akhirnya sehinggalah waktu solat hanya tinggal 5 waktu sahaja. Itupun ada seorang nabi mengatakan yang ummat Muhammad masih belum mampu untuk menunaikannya. Tetapi nabi Muhammad sudah berasa malu untuk meminta lagi. Akhirnya sehinggalah sekarang kita wajib menunaikan solat lima waktu sehari semalam.

Apa yang saya nak lontarkan di sini, meninggalkan solat 5 waktu adalah menjadi perkara biasa pada masyarakat Islam sekarang. Mengapa terjadi sedemikian? Tidak sedarkah kita Allah telah meminjamkan segala ni'mat untuk kita. Andainya hanya mempunyai tangan sebelah sempurnakah kita? andainya ditarik ni'mat mata, mampukah kita menghadapinya? andainya ditarik ni'mat bau, terganggukah hidup kita? Fikirlah wahai saudaraku. Ini adalah ni'mat yang sungguh tidak ternilai Allah telah memberikan kepada kita. Bagaimanakah caranya untuk kita mengucapkan terima kasih kepada Allah? Bagaimanakah caranya kita nak membalas segala ni'mat yang Allah berikan? Tentulah dengan solat kerana solat adalah merupakan tanda syukur atau terima kasih kita kepada Allah. Saudaraku, tidak perlu bayaran walau sesen pun. Berat sangatkah kita untuk mengucapkan terima kasih kita kepada Allah? janganlah jadi manusia yang sombong dan bongkak, apabila diberi ni'mat tidak tahu untuk membalasnya. Siapakah kita untuk sombong dengan Allah. Sedangkan Allah mengetahui segala-galanya tentang diri. Adakah sanggup untuk kita sombong kepada Allah???? fikirlah wahai saudaraku.

Solatlah.....kerana solat akan mencegah diri kita dari segala ma'siat. Khusyu'kanlah diri dalam solat kita akan mendapat kemanisannya. Percayalah wahai saudaraku. Bagaimana Saidina Ali semasa menjadi Amirul mu'minin sebelum solat dia akan berasa gementar untuk berjumpa dengan Allah kerana beliau akan memberi laporan tugasannya kepada Allah sebagai Amirul Mu'minin. Begitulah orang yang khusyuk dalam solatnya. Kita bagaimana wahai saudaraku. Kadang-kadang dalam solatlah kita akan mengingati segala perkara yang kita lupa, mula ingat akan buat itu dan ini, sungguh sedikit ingatan dan fokus kita kepada Allah. Kita lupa yang kita sedang berjumpa dengan Allah. Kita lupa yang kita sedang berbicara dengan Allah. Malunya ya Allah.....

Renungkanlah wahai saudaraku. Sejauh mana khusyu' kita di dalam solat dan sejauh mana syukur kita kepada Allah. wallahua'lam.

Jumaat, 10 Jun 2011

Impian hati

Bila terdengar saja lagu layar keinsafan dari mestica ini, hati berasa amat tenang.Entah kenapa hati ini tidak pernah jemu mendengar lirik n rentak lagu ini. Mungkin inilah yang selalu bermain dibibir ketika bertemu Sang Khaliq. Manusia tidak akan terpisah dengan kelalaian dan kelupaan kepada Rabbnya.

Kali ini saya ingin menyentuh tentang impian hati saya ini. Siapa yang tidak mahu melihat keluarganya sempurna dari segala genap segi. Namun ujian pasti datang menjenguk tannda Allah sedang sedang memberi perhatian kepada orang yang diuji. Kalau diikut hati ini ingin sekali melihat kami semua sekeluarga berjaya mengemudi diri hingga ke akhirat sana. Hati ini ingin sekali melihat anak-anak berjaya di dunia dan di akhirat. Hati ini ingin memastikan keperluan untuk anak-anak mencukupi. Kalau boleh hati ini tidak mahu melihat sedetik pun kesusahan mereka. Tetapi sebenarnya dengan kesusahanlah anak-anak boleh berdikari dan berdiri di atas kakinya sendiri. Entahlah..... saya mampu atau tidak untuk mnghadapi atau melihat anak-anak dalam kesusahan.

Hati ini ingin sekali merasai kasih sayang seorang suami yang ikhlas dan tiada sempadan kepada seorang isteri yang telah menyerahkan jiwa dan raga kepada suaminya. Saya ingin sekali suami saya menyanyangi sehingga ke akhir usia kami dan terus hingga ke syurga. Saya yakin suami saya mampu melakukannya kerana dia seorang suami yang soleh. Kadangkala kita tersalah langkah tetapi kita cepat tersedar dan kembali ke jalan yang diredhoinya. Ini lah manusia hebat. manusia yang mampu bangun semula dari kesalahan yang telah dia lakukan. Saya dan suami tidak pernah lari dari melakukan kesilapan.Bila kita tersedar dan kembali brtaubat dengan bersungguh-sungguh insayaallah pintu taubat Allah terbuka dengan luasnya. Hati ini ingin sekali sentiasa merasai rahmat Allah yang melimpah ruah dalam rumahtangga kami. Semoga impian hati ini menjadi kenyataan hendaknya. Allah maha mendengar walau dari bisikan hati sekalipun.

Terlalu banyak impian yang diharapkan kepada Allah. Semoga saya tidak tergolong dalam manusia yang tamak yang selalu meminta bermacam-macam kepada Allah. Tetapi dalam hati ini selalu mengingatkan kalau kita ingin meminta bermacam-macam kepada Allah kita perlu memberi ketaatan kepadanya sebaik yang mungkin. Ya Allah Engkau lebih mengetahui segalanya. Doakan kebahagiaan kami hingga ke syurga. Amin.

Khamis, 9 Jun 2011

Berjalan mencari ilmu




28 Mei 2011 kami sekeluarga membuat lawatan ke Petrosains Jusco Perda Pulau Pinang.Seronok melihat gelagat anak2 apabila masuk ke alam dinosour.Anak saya yang ke2 terberhenti seketika apabila melihat dinosour yang sangat besar yang dia sendiri tidak pernah terbayang difikirannya. "Adik takut, adik nak bayik" itulah ungkapan yg bermain di mulutnya ketika itu.

Aktiviti yang sangat menarik yang telah disediakan oleh pihak penganjur.Pelbagai 'games' mengenai dinosour telah disediakan. Saya dan suami mengajar anak-anak untuk bermain games itu.Kami terleka seketika kerana asyik bermain games bersama anak-anak.Tampak wajah-wajah si anak begitu gembira kerana ini adalah ilmu baru bagi mereka.
Ini adalah misi anak-anak saya mencari tulang dinosour yang telah tertimbus di dalam pasir.Setelah penat bermain akhirnya suami saya mengajak kami pergi menunaikan solat maghrib di tempat yang telah disediakan.Sempat juga saya dan suami bergambar kenangan.
Semoga waktu yang diluangkan bersama anak-anak dapat beroleh manfaat yang terbaik buat kami sekeluarga.

Sabtu, 7 Mei 2011

Cinta sentiasa bersemi


Lihatlah seorang suami yang soleh cuba menahan marah apabila mendapat tahu isterinya telah memberikan barang miliknya kepada orang lain tanpa izinnya.Lihat pula bagaimana seorang isteri yang solehah cuba memohon maaf apabila dia menyedari dia telah melakukan kesilapan kepada suaminya.

Isnin, 2 Mei 2011

madah untuk wanita solehah

Wanita solehah itu aurat dijaga,
Pergaulan dipagari,
Sifat malu pengikat diri,
Seindah hiasan di dunia ini.

Keayuan wanita solehah itu,
tidak terletak pada kecantikan wajahnya,
Kemanisan wanita solehah,
tidak terletak pada kemanjaannya,
Daya penarik wanita solehah itu,
Bukan pada kemanisan bicaranya yang mengoncang iman para muslimin,
Dan bukan pula terletak pada kebijaksanaannya bermain lidah, memujuk rayu,

Bukan dan tidak sama sekali,
Kepetahan wanita solehah,
Bukan pada barang kemas atau perihal orang lain,
Tapi pada perjuangannya meningkatkan martabat agama.

Nafsu mengatakan wanita cantik dengan paras rupa yang indah bak permata yang menyeri alam,
Akal mengatakan wanita cantik atas kemajuan dan kekebalannya dalam ilmu serta pandai dari segala aspek,
Hati menyatakan kecantikan wanita hanya pada akhlaknya,
Itupun seandainya hati itu bersih untuk menilai.

Wahai wanita jangan dibangga dengan kecantikan luaran,
kerana satu hari nanti ianya akan lapuk di telan zaman,
Tetapi jaga dan peliharalah kecantikan dalaman,
Agar diri ini bersih dan sentiasa mendapat Rahmat ilahi,

Wahai wanita jangan berbangga dengan ilmu duniawi yang kau kuasai,
kerana ada lagi manusia yang lebih berpegetahuan darimu,
Wahai wanita jangan pula berdukacita atas kekurangan dirimu,
kerana ada lagi insan yang lebih malang darimu,
Wahai wanita solehah jangan dirisau akan jodohmu,
Kerana muslimin yang bijaksana itu tidak akan terpaut pada wanita hanya kerana kecantikannya,
Bersyukurlah diatas apa yang ada,
Serta berusaha demi keluarga, bangsa dan agama.

Salam perjuangan untuk sahabatku,
Wanita solehah.

"Wanita hiasan dunia, Seindah hiasan adalah wanita solehah

Selasa, 12 April 2011

BERSEDIAKAH AKU?

Alhamdulillah......hri ini masih dipinjamkan nafas oleh Allah.Walaupun kepala terasa agak berat namun saya ingin juga menitip kata-kata untuk dikongsi bersama.
Masyaallah.............begitu lama saya tidak menjenguk blog.Memang susah untuk konsisten dalam dakwah pena ini.Memang betul lah kata kebanyakan orang memang mudah untuk menambah amal tetapi yang susahnya adalah untuk berterusan dalam amal tersebut.Astaghfirullahala'zim.

Tsunami di Acheh, tsunami di Jepun, Gempa bumi di Padang, gempa bumi di China, Ribut taufan di Amerika, pemanasan global, dan banyak lagi.Dan kalau ditulis sudah semestinya penuh dalam setiap helaian kertas kita.'Bumi sedang berbicara'. Adakah ini petandanya tanda kiamat sudah hampir??????Hanya Allah sahaja yang boleh memberi jawapannya.

Adakah kita menyedari yang bumi ini sedang berbicara? Apakah yang bumi ini hendak menyampaikan sebenarnya????? Sedarilah wahai manusia....hentikanlah sikap kerakusanmu.Andainya benar kiamat sudah hampir.....adakah aku telah bersedia untuk menghadapinya????

"Tanamlah sebiji kurma walaupun esok adalah hari kiamat".saya pun kurang ingat dengan matan sebenar hadis ini.Walaupun kita tahu esok adalah hari kiamat namun kita masih tetap melakukan amalan baik dan berdakwah di atas muka bumi ini.Perjuangan hidup kita mestilah diteruskan sehingga ke hari kiamat kerana ianya adalah saham kita di akhirat kelak.Solatlah kita seperti kita akan mati pada esok hari dan bekerjalah kita seperti kita akan hidup 1000 tahun lagi.Janganlah kita jemu dalam melakukan amalan soleh dan jangan sekali-kali kita merasakan yang diri masih muda dan boleh hidup lama lagi lalu menikmati hiburan-hiburan dunia dengan segembiranya sehingga kita lalai kepada Allah.Na'uzubillahi min za lik.

Kalau kita 'flash back' balik kisah hidup kita sebelum ini, agaknya yang mana lebih berat? dosa atau pahala ye?Jadi tunggu apa lagi ayuhlah kita terus berdakwah dan menambah amalan soleh kita sehinggalah tertegaknya daulah islamiyyah yang Nabi kita pernah bersusah payah mendirikannya dahulu.Masih ramai lagi tangan-tangan yang ingin menyambut kita untuk berbicara tentang Islam.Musuh sentiasa merancang menjatuhkan kita dan sepatutnya kita saling memperkuatkan antara satu sama lain bukan semakin berlapang dada mengikut budaya2 yang tidak sihat yang telah dipopularkan oleh pihak musuh.Adakah kita sudah bersedia dengan segala persoalan yang akan diajukan di padang Mahsyar nanti?tepuk dada tanyalah iman kita.

Demikian sedikit cebisan untuk kita berkongsi bersama. Sekadar renungan untuk dipahatkan di hati kita.Semoga Islam terus tertegak tinggi dengan bertambahnya 'rijaluda'wah'. Sekian dari insan kerdil punyaan ilahi.